PELBAGAI cerita dan laporan masa silam yang dicatat dalam tulisan jawi tidak begitu diketahui oleh orang Melayu dewasa ini. Hal ini terserlah, antara lainnya, dari buku mengajar tulisan jawi oleh M.B. Lewis, pensyarah bahasa Melayu Universiti London.
Bukunya berjudul: Tulisan Melayu: A Handbook of Malay Script dicetak pada tahun 1954. Antara kandungannya ialah petikan dari sejarah Melayu seperti berikut: “Kalakian maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya dan bandarnya pun terlalu ramai.
‘‘Maka segala orang Melaka pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya hairan melihat dia, maka kata orang Melaka, ia ini Benggali putih. Maka pada seorang orang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia, ada yang memutar janggutnya, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil chepiaunya, ada yang memegang tangannya.
‘‘Maka kapitan kapal itu pun naik mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka Bendahara diangkat anak kapitan itu dipersalin, maka kapitan kapal pun persembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas ia sendirinya memasakkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja.
‘‘Maka segala orang hendak gusar akan kapitan Feringgi itu tiada diperoleh Bendahara katanya jangan dituruti kerana ia orang yang (tiada tahu bahasa).
Demikian petikan dari sejarah Melayu. Jelas bahawa segalanya berlaku sebelum kemudiannya Portugis menyerang dan menakluki Melaka. Buku-buku sejarah mengisahkan pelbagai aspek penaklukan dan penjajahan Portugis tetapi tiada cerita mengenai orang-orang Melaka pada mulanya seperti hairan ajaib bila menemui mereka bagi kali pertama. Kedatangan mereka ialah dari Goa di India yang telah ditaklukinya.
Lewis juga memetik tajuk-tajuk berita akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis, Warta Melayu, Warta Negara dan Melayu Raya serta pantun-pantun Melayu, antaranya berbunyi:
Jangan lurut padi muda
pecah batang kena tangan
jangan diturut hati muda
rosak binasa panjang-panjangan.
Belah durian berpangsa-pangsa
belah sepangsa isi merah
jangan tuan memilih bangsa
darah juga sama merah.
Di muka surat akhbar Warta Malaya 9 Januari 1933 dicatat: Yang diterbitkan hari-hari, Muafakat dan bantuan itulah tangga kemajuan berkekalan.
Mendapat tempat ialah kandungan surat kepada Sultan Ibrahim Shah, Negeri Selangor dari Residen Melaka, Walter Sewell Cracraft pada 26 April 1825 bersamaan 7 Ramadan 1240 mengenai Melaka menjadi pelabuhan bebas. Ayat pertama surat tulisan jawi itu berbunyi: “Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta kasih sayang yang tiada berkesudahan lagi selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan...”
Lain-lain cerita tulisan jawi dipetik dari Hikayat Pelanduk Jenaka. Hikayat Sang Lomeri dan Hikayat Bayan Budiman. Menarik perhatian ialah sikap rendah diri dalam surat yang dikirim kepada Ratu Elizabeth, berbunyi: “Mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen. Harap diampun Tuanku. Adalah patik sekalian yang bertandatangan di bawah ini iaitu yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis mesyuarat undangan bagi pihak penduduk di negeri-negeri Melayu memohon ampun ke bawah duli mempersembahkan dengan beberapa hormat takzim dan takrim kehormatan dan tahniah pada hari kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.”
Pada peringkat permulaan Lewis mencatat sumbangan Pendita Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) menyusun daftar ejaan Melayu. Lalu dijelaskan: “Tentang ejaan jawi ini hanyalah pada umumnya sahaja dikatakan mengikut kebiasaan penulis-penulis yang lebih ramai. Yang sebenarnya kebiasaan itu ada banyak tentangannya yang berlain-lain pada lain-lain orang. Banyaklah perkataan yang belum tetap ejaan jawinya.
Lewis menyatakan harapan bahawa “para pelajar Asia dan juga Inggeris” akan mendapat faedah dari buku panduan tulisan Melayu yang disusun olehnya itu supaya boleh membaca pelbagai bacaan jawi. Tetapi seperti diketahui semasa ini hanya Kumpulan Utusan Melayu menyiarkan sisipan khas akhbar tulisan jawi, iaitu pada tiap hari Isnin.
Jelas bahawa pelbagai hal kemudiannya ditelan masa. Ramai anak sebilangan ramai ibu bapa yang dulu fasih membaca jawi tidak boleh membaca jawi.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan