I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 23 Mac 2011

AYAT PENYATA

Secara umumnya, perbandingan yang dibuat dalam ketiga-tiga buah buku, iaitu buku Tatabahasa Dewan (TD), Tatabahasa Bahasa Malaysia(TBM), dan Buku Nahu Melayu Moden(NMM) dapat menjelaskan perbezaan dan persamaan berkaitan ayat penyata dari segi istilah, konsep dan subgolongannya. Dari istilah penggunaan, buku Tatabahasa Dewan dan buku Tatabahasa  Bahasa Malaysia tetap menggunakan istilah ayat penyata. Namun begitu, istilah dalam kedua-dua buah buku tersebut berbeza dengan buku Nahu Melayu Moden yang menggunakan istilah ayat berita sebagai merujuk kepada ayat penyata. Walau bagaimanapun, dari segi konsep ayat penyata, ketiga-tiga buah buku dinyatakan konsep dari segi makna. Namun, buku Tatabahasa Bahasa Malaysia turut menyatakan konsep dari segi intonasi. 

            Tatabahasa Dewan menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang diucapkan atau diperkatakan  dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata yang diucapkan adalah bertujuan untuk menyatakan keterangan tentang sesuatu hal atau perkara. Selain itu, ayat berita atau ayat keterangan turut dikenali sebagai ayat penyata (Nik Safiah Karim,1996:422). Tatabahasa Bahasa Malaysia pula menyatakan ayat penyata dari segi makna dan intonasi. Dari segi makna, bermaksud ayat yang memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu hal atau perkara yang menunjukkan keterangan. Dari segi intonasi pula, buku tersebut telah menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang diucapkan dengan intonasi sederhana yang diakhiri dengan nada penutup menurun. Nahu Melayu Moden pula yang menggunakan istilah ayat berita menyatakan  ayat yang menceritakan atau memperlihatkan suatu kejadian atau peristiwa, pandangan atau perasaan seseorang.

            Di samping itu, dalam subgolongan pula, Tatabahasa Dewan dan Tatabahasa Bahasa Malaysia tidak mempunyai subgolongan dalam ayat penyata namun, Nahu Melayu Moden telah membahagikan ayat penyata kepada dua bahagian iaitu ayat ya dan ayat tidak. Ayat ya merupakan ayat yang menunjukkan kebenaran atau kesungguhan sesuatu berita atau pernyataan, manakala ayat tidak pula menunjukkan ayat yang menafikan atau menidakkan sesuatu berita atau pernyataan. Namun demikian, ayat ya juga dapat wujud dalam ayat tidak dengan menyisipkan kata nafi tidak atau bukan di antara subjek dan predikat ayat. Contoh ayat yang dapat dibuktikan ialah:
a)    Hari ini cuti umum
            Hari ini bukan cuti umum
b)    Dia pergi ke sekolah
Dia tidak pergi ke sekolah

Secara umumnya bukan digunakan di hadapan predikat yang terdiri daripada kata atau frasa nama sedangkan tidak digunakan di hadapan predikat yang terdiri daripada kata/frasa sifat atau kata/frasa kerja (Liaw Yock Fang, 1993: 184).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan