Oleh Sidek Baba
ISU kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan bahasa kedua timbul lagi. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris.
Apabila Kementerian Pelajaran mengkaji semula PPSMI dan mengambil keputusan untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu, ia menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan.
Penegasan yang dibuat dalam Majlis Penutup Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkasa bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa adalah langkah bijak, berpandangan jauh dan tepat pada waktunya.
Bahasa Melayu sudah sekian lama menjadi bahasa ilmu dan bahasa ilmiah. Sejarah lebih 53 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa yang tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan. Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita bakal ketinggalan dalam proses maju dan membangun.
Dalam usaha memartabat bahasa Melayu, kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan berkesan, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi.
Bangsa Anglo-Saxon atau orang-orang Eropah dahulunya menghantar orang-orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia bagi mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah. Strategi mereka ialah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu.
Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain adalah suatu keperluan kerana sifat zaman berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut.
Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka, terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya.
Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan. Penggunaanya dalam subjek sains dan matematik dan 100 lagi cabang-cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi telah menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi, ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka.
Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik.
Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama, amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun.
Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris, tetapi tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan ataupun Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju.
Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia, tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan masa depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.
Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran melebar. Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan.
Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan yang lalu menjadi bukti bahawa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama, pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.
Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.
Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam, tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa.
Ilmuan Islam yang tersohor mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran.
Sejak merdeka bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.
Sumber: Utusan Malaysia 23 March 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan