I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khamis, 24 Mac 2011

Kontroversi novel Interlok selesai

SOALAN: Datuk Abd. Rahman Bakri [Sabak Bernam] minta Menteri Pelajaran menyatakan kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.
JAWAPAN
Tuan Yang Dipertua,
Terdapat lima (5) pertanyaan yang menyentuh isu berkaitan dengan kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain yang menjadi teks komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5 di Zon 2, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pertanyaan tersebut adalah:
1. YB Sabak Bernam (24.03.2011) - Hari ini
2. YB Kuala Krai (24.03.2011) - Hari ini
3. YB Bukit Gantang (04.04.2011)
4. YB Telok Intan (04.04.2011)
5. YB Hulu Terengganu (06.04.2011)
Oleh kerana kesemua pertanyaan yang dibangkitkan saling berkaitan, izinkan saya menjawab isu tersebut secara serentak, serta mengulas lapan (8) pertanyaan yang dikemukakan sebelum hari ini kerana menyentuh perkara yang sama.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Semangat musyawarah diutamakan dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu yang timbul di samping memastikan sebarang tindakan yang dibuat dilaksanakan secara berhati-hati. Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Dalam menangani isu novel Interlok, Kementerian mengambil langkah yang amat teliti supaya sebarang keputusan yang dibuat adalah rasional, munasabah dan dapat diterima oleh semua pihak.
Novel Interlok adalah satu karya sastera yang telah melalui proses pemilihan dan penyaringan yang ketat sebelum dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5. Novel ini telah dinilai oleh enam (6) jawatankuasa di peringkat Kementerian, yang ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ini adalah untuk memastikan Interlok memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu karya asal yang ditulis dalam bahasa Melayu, menepati Kurikulum Bahasa Malaysia, mendukung nilai-nilai murni, menimbulkan kesan nasionalisme yang kuat dan mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Suka saya menegaskan bahawa dalam pemilihan teks Komsas, keutamaan diberikan kepada hasil karya Sasterawan Negara, pemenang anugerah S.E.A. Write Award dan pemenang hadiah Sayembara Sastera.
Secara khusus, novel Interlok memaparkan kegigihan watak-watak dalam keluarga berketurunan Melayu, Cina dan India di zaman sebelum merdeka untuk mengubah nasib diri dan menjadi manusia yang bermaruah dan bermartabat. Watak Cing Huat digambarkan sebagai seorang anak muda Tionghua yang bekerja keras meneruskan perniagaan bapanya sehingga menjadi kaya raya dan dihormati oleh masyarakat.
Watak Maniam pula dipaparkan sebagai seorang buruh India yang rajin berusaha sehingga akhirnya berjaya menjadi tandil estet. Malah melalui pendidikan, anak Maniam iaitu Ramakrisynan berjaya menjadi inspektor polis.
Watak Seman pula ditonjolkan sebagai anak seorang petani Melayu yang bekerja kuat untuk mengangkat nilai dirinya agar menjadi insan yang berjaya dan dihormati oleh penduduk desanya.
Penceritaan tentang kegigihan watak-watak pelbagai kaum dalam novel ini untuk mengubah nasib diri memberi pengajaran kepada murid bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan agama, boleh berjaya dalam kehidupan sekiranya mereka gigih berusaha.
Novel ini juga sarat dengan nilai-nilai perpaduan kaum. Aspek kerjasama dan hormat menghormati antara kaum ditonjolkan dengan nyata melalui persahabatan Maniam dan Musa. Dalam novel ini, Maniam dipaparkan sebagai seorang yang sentiasa mengenang jasa sahabatnya Musa yang pernah menyelamatkan nyawanya, walaupun Musa telah lama meninggal dunia.
Sebagai membalas jasa Musa, Maniam telah menolong anak Musa, iaitu Seman, untuk mendapatkan pekerjaan di estet. Malah, sebagai penghormatan kepada Maniam, Seman memanggil Maniam dengan panggilan tuan.
Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang. Melalui adunan realiti dan imaginasi, novel ini cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka.
Malah, penulis menggambarkan watak-watak dari ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama menyambut kemerdekaan negara dalam suasana penuh pengharapan dan kegembiraan.
Dalam konteks ini, penulis telah berjaya menggambarkan rupa bentuk rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu. Atas dasar ini, Kementerian Pelajaran tanpa ragu-ragu telah memilih novel Interlok sebagai teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima di Zon 2.
Namun demikian, penggunaan novel Interlok telah menimbulkan bantahan daripada beberapa kumpulan dalam masyarakat India. Bantahan adalah berkisar tentang penggunaan perkataan 'kasta Paria' di dalam novel tersebut yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan kaum India.
Sehubungan itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2011 telah memutuskan supaya Kementerian Pelajaran mengadakan dialog dengan wakil NGO India bagi membincangkan kontroversi novel Interlok dan mencari jalan penyelesaian. Parti MIC telah mencadangkan beberapa nama untuk mewakili NGO India dan kesemua mereka telah dijemput untuk berdialog dengan pihak Kementerian pada 18 Januari 2011.
Kontroversi novel Interlok juga telah menimbulkan desakan daripada ahli akademik, sasterawan, persatuan penulis dan orang awam supaya novel ini dikekalkan sebagai teks Komsas. Mereka menegaskan bahawa Interlok tidak bersifat rasis malah mengandungi banyak nilai-nilai positif yang menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian kaum.
Kumpulan ini juga turut memohon untuk berdialog dengan Kementerian Pelajaran berhubung isu ini. Justeru, beberapa individu yang mewakili kumpulan ini turut dijemput menghadiri sesi dialog yang diadakan.
Hasil dialog seterusnya telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan susulan daripada itu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya:
i) Novel ini terus diguna pakai sehingga satu pendekatan yang komprehensif dicapai dalam menangani isu berbangkit;
ii) Mengarahkan penubuhan satu panel bebas untuk mengkaji kandungan novel;
iii) Mendapatkan pandangan daripada penulis; dan
iv) Mencadangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.
Berdasarkan keputusan Jemaah Menteri, Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok telah ditubuhkan untuk meneliti bahagian yang dianggap sensitif kepada masyarakat India dan memperakukan kepada kerajaan bentuk suntingan yang sesuai tanpa menjejaskan jalan cerita dan mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya.
Panel bebas ini dipengerusikan oleh Y.Bhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang bahasa dan sastera termasuk tiga (3) wakil masyarakat India dan seorang wakil penulis.
Panel Bebas ini telah bersidang sebanyak empat (4) kali dan mengadakan dua (2) pertemuan dengan saya.
Pada mesyuarat kali ke-3, Panel Bebas telah mencapai kata sepakat untuk menggugurkan frasa "kasta Paria" dalam novel ini dan menggantikannya dengan frasa "golongan yang sama." Alhamdulillah, cadangan suntingan ini telah dipersetujui oleh penulis sebagai pemegang hak cipta dan untuk itu kerajaan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada penulis di atas kemurahan hati beliau membenarkan karya sastera ini disunting.
Pada masa yang sama, wakil masyarakat India dalam Panel Bebas juga mengemukakan kepada kerajaan sebanyak 106 bentuk cadangan pindaan yang lain untuk dipertimbangkan. Cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan isu pokok, iaitu "kasta Paria" yang telah pun diselesaikan, tetapi meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.
Sehubungan itu, saya telah meminta Panel Bebas untuk meneliti satu persatu 106 cadangan pindaan yang dikemukakan dan mengenal pasti perkara-perkara yang benar-benar menyentuh sensitiviti masyarakat India sahaja dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.
Lanjutan daripada itu, Panel Bebas telah sekali lagi bermesyuarat pada 23 Mac 2011 untuk meneliti kesemua cadangan ini. Hasil penelitian Panel Bebas mendapati hanya 19 perkara sahaja yang boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India. Ini bermakna, sebanyak 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok. Ini termasuklah cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel, ejaan "tali" dipinda kepada "taali," perkataan "papa" ditukar kepada "appa," "cawat" ditukar dengan "dhoti" dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, kesemua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang.
Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga (3) daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu dalam novelnya.
Tiga (3) perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai. Panel Bebas, dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan bahawa ketiga-tiganya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat India.
Daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh (7) perkara telah dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata di dalam novel ini bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India. Manakala enam (6) perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis, sekali lagi, dengan kemurahan dan kejernihan hati beliau, telah bersetuju untuk meminda perkataan "Tuhan" kepada perkataan "dewa" dan menggugurkan frasa "orang berkulit hitam" daripada novel ini.
Selain dari itu, Kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan. Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit mana pun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.
Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita.
Saya juga ingin mengingatkan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik yang sempit supaya jangan sekali-kali cuba menangguk di air yang keruh. Jangan sekali-kali mengeksploitasi isu ini untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan mencetuskan porak peranda di negara kita yang tercinta. Ini adalah satu perbuatan sia-sia yang pasti akan ditolak oleh rakyat.
Saya yakin majoriti rakyat di negara kita adalah rasional dan mereka akan menerima keputusan yang adil dan munasabah.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan kepada Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain atas kemurnian hati beliau untuk mengizinkan novel Interlok disunting. Dalam pertemuan saya dengan beliau beberapa hari lalu, Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak sekali-kali berniat untuk menyentuh sensitiviti apa lagi menghina masyarakat India ketika menulis novel ini empat puluh tahun yang lalu.
Apa yang dipaparkan dalam novel ini adalah cetusan pemikiran dan imaginasi beliau tentang kehidupan sosial masyarakat pelbagai kaum di negara kita yang dijelmakan dalam bentuk karya sastera kreatif.
Untuk itu, sewajarnyalah kita menghormati bukan sahaja karya beliau, tetapi juga segala keputusan yang telah dibuat oleh beliau dalam membantu kerajaan untuk menyelesaikan kontroversi novel Interlok. Ini adalah satu lagi sumbangan beliau yang amat besar kepada negara.
Selain itu, saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Panel Bebas iaitu:
(i) Y.Bhg Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Pengerusi;
(ii) Y.Bhg Datin Siti Saroja Basri, wakil penulis;
(ii) Y.Bhg Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional;
(iv) Y.Bhg Datuk Termuzi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;
(v) Y.Bhg Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia;
(vi) Y.Bhg. Prof. Dr. NS Rajendran, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki di Universiti Pendidikan Sultan Idris;
(vii) Encik G. Krishnabahawan, pendidik; dan
(viii) Encik Uthaya Sankar penulis bebas.
Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri dan saya selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu ini.
Dengan persetujuan yang telah dicapai, Kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai.
Sekian, terima kasih.

Sumber: Utusan Malaysia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan