I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 23 Mac 2011

Imbuhan Kata Kerja Pasif


Nik Safiah melihat kata kerja berimbuhan ber- sebagai imbuhan kata kerja pasif.  Beliau melihat bahawa, sekiranya kata kerja berimbuhan ber- ini digunakan dalam ayat, maka bahagian berbentuk bahagian oleh + FN tidak lagi diperlukan. Contoh dalam ayat di bawah:
           1.a)      Tudung itu bersulam benang emas.
              b)       *Tudung itu bersulam oleh benang emas.
            Dalam contoh 1(a), penggunaan kata kerja berimbuhan ber- sudah menunjukkan bahawa ayat tersebut ialah ayat pasif.  Maka, jika dilihat dalam contoh 1(b), pola ayat oleh + FN tidak lagi diperlukan.
            Menurut Za’ba pula, beliau masih melihat kata kerja berimbuhan ber- hadir dalam ayat pasif sepertimana yang dikemukakan oleh Nik Safiah Karim.  Namun, apa yang berbeza ialah Za’ba menjelaskan bahawa penggunaan kata bantu belum, sudah dan kata nafi tidak perlu didahului dalam penggunaan kata kerja berimbuhan pasif ber-.  Contohnya dapat dilihat dalam ayat di bawah:
1.a)     Buah itu belum berkupas.
   b)      Baju itu sudah berjahit.
   c)      Baju adik tidak berbutang.
            Oleh itu, kedua-dua tokoh ini melihat fungsi kata kerja imbuhan pasif ber- dalam ayat pasif dengan penjelasan yang sedikit berbeza.  Nik Safiah melihat pola oleh + FN yang tidak diperlukan dalam ayat pasif yang menggunakan imbuhan ini, manakala Za’ba melihat penggunaan kata bantu belum dan sudah serta kata nafi tidak dalam ayat pasif berimbuhan ber- ini.
            Imbuhan kata kerja pasif yang kedua ialah ter-.  Menurut pendapat Nik Safiah Karim, kata kerja berimbuhan ter- adalah kata kerja yang hanya dapat hadir dalam ayat pasif.  Kata kerja berimbuhan ter- yang hadir dalam ayat pasif ini perlu diikuti dengan kata sendi nama oleh dan tidak boleh digugurkan.  Contoh dijelaskan seperti berikut:
1.a)     Minyak wangi itu terjual oleh mereka dalam masa seminggu.
   b)      *Minyak wangi itu terjual mereka dalam masa seminggu.
2.a)     Paku itu terpijak oleh ayah semalam.
   b)      *Paku itu terpijak ayah semalam.
           Dalam contoh 1(b) dan 2(b), kata sendi nama oleh digugurkan dalam penggunaan kata kerja berimbuhan pasif ter-, maka ayat itu menjadi struktur ayat yang tidak gramatis.
            Dalam subtopik ayat pasif sebelum ini kita tahu bahawa menurut Za’ba, kata kerja berimbuhan ter- ini turut hadir dalam ayat aktif. Dalam ayat pasif pula, Za’ba menjelaskan bahawa kata kerja berimbuhan ter- yang hadir, membawa dua makna iaitu makna ’sengaja’ dan ’ada upaya’ di mana penjelasannya sama seperti dalam ayat aktif.  Contoh dibawah menjelaskan tentang apa yang dinyatakan oleh Za’ba:
Ayat pasif ( tidak sengaja )   
1.a)     Dompet itu terjumpa oleh Ali.
   b)      Ayah terlanggar oleh basikal.
Ayat pasif ( ada upaya )
 2.a)    Gula-gula itu termakan oleh adik.
    b)     Abang terpukul oleh ayah.
Contoh yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh mengenai kata kerja berimbuhan pasif ter- menunjukkan persamaan di mana penggunaan kata sendi nama oleh hadir dalam ayat pasif.  Namun, pendapat  Za’ba yang membahagikan ayat pasif kepada dua makna itulah yang membezakan pendapat mereka mengenai kata kerja berimbuhan pasif ter-.
Kata kerja berimbuhan di- juga adalah kata kerja yang turut hadir dalam ayat pasif.  Bagi ayat pasif yang menggunakan kata kerja berimbuhan pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang hadir selepas kata kerja boleh digugurkan  tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat.  Contohnya:
1.a)     Buku itu dibaca oleh adik semalam.
   b)      buku itu dibaca adik semalam
Namun, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan. Contoh dalam ayat di bawah:
2.a)     Buku itu dibaca semalam oleh adik.
         b)      *Buku itu dibaca semalam adik.
Za’ba pula sebenarnya tidak menyatakan secara tepat tentang penggunaan kata kerja berimbuhan di- dalam ayat pasif.  Namun, beliau mendefinisikan imbuhan di- sebagai ‘kena kerjakan’ yang bermaksud orang atau benda yang disebutkan itu sedang atau telah melakukan perbuatan tersebut dan orang atau benda yang membuatnya dikemudiankan.  Contohnya:
1.a)     Ali dikejar oleh anjing.
         b)      Adik dipukul oleh ibu.
Jika dilihat pada contoh, Za’ba dan Nik Safiah sebenarnya menggunakan rumus yang sama bagi kata kerja berimbuhan pasif di- , iaitu kata kerja berimbuhan di- diikuti oleh + FN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan