Terdapat persamaan dan perbezaan dari segi makna dan intonasi dalam Tatabahasa Dewan, Nahu Melayu Moden serta Tatabahasa Malaysia terhadap ayat seruan. Ketiga-tiga buku tersebut mendefinisikan ayat seru sebagai ayat yang digunakan untuk menyatakan sesuatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, suka, benci dan sebagainya. Ringkasnya, ayat seruan digunakan untuk menyampaikan perasaan. Kata seru seperti aduh, amboi, cis, oh, ah dan sebagainya digunakan untuk membina ayat seruan. Berikut adalah contoh-contoh ayat seruan :
i) Wah, cantiknya pemandangan di tepi pantai in!
ii) Amboi, berseri-serinya wajah kamu!
Tatabahasa Dewan dan Tatabahasa Bahasa Malaysia mempunyai persamaan dalam membahagikan ayat ini sebagai ayat seru dari segi intonasi. Kedua-duanya, menyatakan bahawa ayat seru perlu diucapkan dengan nada atau intonasi seruan supaya selaras dengan sesuatu keadaan atau perasaan yang hendak disampaikan. Ringkasnya, bagi menerangkan sesuatu perasaan kata seru tertentu perlu digunakan supaya dapat melahirkan nada yang seiring. Misalnya, bagi menerangkan perasaan sakit kata seru aduh digunakan.
i) Aduh, sakitnya kepalaku!
Walau bagaimanapun, Nahu Melayu Moden tidak menerangkan bahawa ayat seru perlu mempunyai nada atau intonasi seruan. Selain itu, Nahu Melayu Moden telah menggunakan kata seru yang diambil daripada ayat pasar seperti adoi dan horei. Misalnya:
i) Adoi, sakitnya perutku!
ii) Horei, siap juga kerjaku!
Nahu Melayu Moden mengemukakan kata seru baru seperti alangkah untuk menyatakan perasaan kagum, sedih dan sebagainya. Ungkapan yang berasal dari bahasa Arab seperti astagfirullah, insya-Allah, masya-Allah, ya Allah, syukur dan alhamdulillah juga dapat digunakan sebagai kata seru. Misalnya:
i) Astagfirullah, saya pula yang menjadi mangsa!
ii) Syukur alhamduillah, saya terselamat daripada penjenayah itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan