semasa rehat
"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara." ~Pujangga~
Isnin, 11 April 2011
Ahad, 3 April 2011
Pertandingan Pantun
Semalam, 2 april 2011, merupakan hari terakhir minggu bahasa Melayu UPSI. Acara penutup bagi majlis tersebut adalah pertandingan pantun. Pertandingan pantun tersebut dimenangi oleh kumpulan Puspa Kencana, kedua Kumpulan Keris Sakti dan tempat Ketiga kumpulan Pancadelima.
Kumpulan Keris Sakti
Sabtu, 2 April 2011
Jumaat, 1 April 2011
Forum Bahasa
Forum Bahasa yang diadakan sempena minggu bahasa UPSI ini membincangkan tentang hala tuju bahasa Melayu pada masa akan datang. Forum ini diadakan pada 28 Mac 2011. Lihat gambar semasa Majlis tersebut.
Bicara Karya: Melayu hilang di Dunia
Bicara karya Melayu hilang di dunia ini adalah mambincangkan sebuah karya Khalid Salleh yang berjudul Melayu hilang di dunia. Bicara ini telah diadakan pada 28 Mac 2011 bertempat di Bilik Seminar Kutubkhanah Tuanku Bainun UPSI.
Seminar Budi Bahasa Budaya Kaunter
Salam 1 Malaysia, disini saya memuatkan gambar semasa majlis seminar Budi Bahasa Budaya Kaunter yang telah dijalankan pada 31 Mac 2011 bersamaan dengan hari Khamis. Seminar ini banyak mambincangkan tentang perilaku dan bahasa yang digunakan di kaunter. Hal ini demikian kerana kaunter adalah gambaran kepada keseluruhan institusi tersebut. Sekiranya bermula di kaunter sahaja sudah tidak betul ini akan menyebabkan ada tanggapan awal terhadap sesebuah institusi tersebut.
Minggu bahasa Melayu: Bengkel Pengacaraan Majlis
Hari ini saya mendapat pengetahuan yang amat berguna. Bengkel Pengacaraan Majlis ini menambah ilmu pengetahuan saya dalam bidang pengacaraan iaitu dari segi protokol semasa majlis, tekanan suara, unsur-unsur yang perlu diselitkan dalam pengacaraan majlis dan sebagainya.Penceramah bengkel ini ialah Yang Berbahagia Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli bin Saludin Ketua Jabatan Bahasa Dan Komunikasi UPSI.Layan gambar sekitar majlis ini.
Suasana Jualan di KHAR
Seperti hari selalunya, hari ini merupakan hari yang sibuk. Biasalah rutin sebabai seorang pelajar perlu dijalankan. Hari ini saya nak berkongsi dengan semua suasana Gerai jualan di KHAR. Selepas sahaja bengkel Pengacaraan Majlis terus sahaja saya pergi ke KHAR untuk berbincang dengan rakan-rakan tentang kerja yang akan dibuat pada malam ini. Saya sempat singgah di beberapa buah kedai dan sempat membeli air tebu dan popia. fuhhh...sedappp...
Kawan saya Amri dan Mazli sempat lagi...
Suasana Gerai Menjual Nasi Ayam
Rabu, 30 Mac 2011
Kisah kelasi Melayu di perantauan
KIRA-kira 500 orang Melayu bermastautin di Liverpool setelah tamat Perang Dunia Kedua. Ramai dari mereka ialah kelasi kapal-kapal dagangan Inggeris.
Sebuah rumah deret, nombor 7 Jermyn Street, Liverpool dibeli untuk menjadi kelab tempat mereka berkumpul dari semasa ke semasa. Liverpool waktu itu pelabuhan besar yang mengadakan hubungan dagangan hingga ke Tenggara Asia dan seterusnya ke selatan Pasifik.
Demikian antara kisah-kisah yang dilaporkan oleh Tim Bunnell mengenai Malay Liverpool. Sebilangan lain kelasi-kelasi Melayu bermastautin di London dan New York di Amerika. Jelas sekali jauhnya mereka merantau.
Temu ramah diadakan dengan bekas-bekas kelasi yang telah meningkat umur mereka dan para keluarga mereka di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Menurut Bunnell lagi kesemua bekas kelasi itu lahir dan membesar "di alam Melayu". Ini termasuk Sumatera dan Pulau Jawa, Borneo dan Sulawesi.
Lalu dicatat betapa kelasi-kelasi yang lahir di Kampung Serkam atau Tanjong Keling di Melaka menyebut hubungan akrab mereka dengan Singapura.
Hampir ke semua kelasi Melayu di Liverpool mendapat peluang kerja masing-masing di Singapura. Seorang seperti Mohamad Nor Hamid yang berasal dari Tanjung Keling menyebut dirinya sebagai "orang Melaka" dan "orang Singapura".
Hingga lewat 1960-an pekerjaan ialah dengan kapal-kapal dagangan Inggeris. Pada dekad berikutnya barulah muncul kapal-kapal Malaysia yang bermula dengan nama "Bunga".
Pada tempoh 1970-an hingga 1980-an orang-orang Melayu yang tiba di Liverpool atau melaluinya ialah para pelajar. Dalam pada itu ramai kelasi yang bermastautin di Liverpool pada tahun 1946 hingga 1960-an tidak menjejak kaki di Malaysia atau Singapura.
Di samping itu pula wakil-wakil UMNO datang melawat orang-orang Melayu di Liverpool. Pada mulanya rumah Nombor 7 Jermyn Street menjadi seperti kelab bagi para pelawat menemui bekas-bekas kelasi.
Menurut Bunnell lagi, sebelum Perang Dunia Kedua dan Perang Pasifik orang-orang Melayu di Liverpool menyewakan rumah-rumah mereka. Para pendatang Melayu kemudiannya tidak dianggap sebagai "orang luar".
Laporan Bunnell berupa kertas kerja untuk Universiti Singapura dan disiarkan dalam majalah Pacific Affairs isu bulan September 2010. Lantas disebut buku berjudul Contesting Malayness: Malay Identity across Boundries oleh Timothy Bernard. Pada peringkat permulaan dicatat hal-hal berikut, antara lainnya:
"Orang Melayu berada di Indonesia, di Sumatera dan sepanjang pantai Borneo Indonesia... perkataan "Melayu" pada abad ke-7 dicatat oleh penulis-penulis negeri China".
Tiga perkataan: Melayu Malay, Maleis dicatat bagi manusia, tempat-tempat, bahasa-bahasa dan adab-adab di antara Petani dan Timor, Manila dan Banda Aceh, Makasar dan Bangkahulu, Pagar Ruyung dan Botavia serta Selat Melaka". Juga disebut kisah-kisah Melayu sentiasa berpindah dan melakukan transformasi diri sendiri".
Turut disiarkan ialah puisi mengenai nasib orang Melayu oleh Tenas Effendy yang diterjemah ke bahasa Inggeris. Antara lain yang berbunyi berikut.
Although Malays are soft-hearted
Towards new comers they talk sweetly,
But don't take away their rights
Malays are willing to face death.
Although Malays are forbidden to commit treason
towards the leaders they are loyal
But don't oppress them
Malays also are brave enough to put their lives on the line
Dari satu pidato Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini pula kata-kata berikut dari pujangga Melayu masa lalu:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
keturunan Acheh adalah Melayu.
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mualaf bertakrif Melayu
Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum
kita bersama dalam serumpun.
Sumber: Utusan Malaysia
Selasa, 29 Mac 2011
Mimpi penyatuan bangsa Melayu melalui Nusantara
MAZLAN NORDIN
SAMBUTAN ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-40 baru-baru ini mengenangkan kembali ingatan pelbagai pihak kepada sesuatu yang dilafazkan oleh Profesor Ismail Hussein, terus peneraju GAPENA, pada suatu masa dahulu. Antara lainnya:
"Universiti ini telah berkembang dengan amat baik, memenuhi sebahagian besar daripada harapan para pejuangnya terutama dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan penerapan jiwa kebangsaan.
Saya berdoa yang universiti ini tidak akan hilang cita-cita kebudayaannya yang asasi, terutama di dalam konteks lautan Melayu di mana kita hidup. Saya selalu merasa yang dunia Melayu yang maha luas ini telah memberikan banyak iktibar.
Dunia Melayu selalu terbuka luas, laksana samudera lepas yang mengelilingi dan selalu menerima serta menyedut akan pelbagai unsur yang menyentuh pantainya, tetapi di samping itu tetap mempertahan keperibadiannya yang unik. Dunia Melayu ini penuh keragaman daripada segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragaman itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikatnya."
Beliau menyatakan hal tersebut dalam syarahan perdana Profesor UKM pada 30 Januari 1990. Pada 20 tahun dahulu - yang penubuhannya "merupakan usaha gigih untuk menukarkan kebudayaan kolonial kepada kebudayaan nasional."
Wajar dicatat dalam konteks peralihan masa ialah ucapannya kepada ahli-ahli Royal Asiatic Society Malaysia Branch di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Februari 1966 manakala menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Lantas disebut betapa bahasa Melayu selepas tamat perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.
Berucap dalam bahasa Inggeris beliau menyebut betapa pengajian Melayu telah berkembang di negara-negara lain, terutama di Australia, Amerika, England dan Russia. Sebelum itu dari kedatangan penjajah Eropah mulai abad ke-16 tidak meminati langsung untuk membuat kajian mengenai budaya dan bahasa rakyat tempatan. Ini berlaku selama 300 tahun.
Perubahan berlaku kemudiannya seperti di Singapura di bawah pemerintahan Stamford Raffles. Di Indonesia pegawai penjajah Belanda Snouck Hurgronge menganalisis bahasa warga Aceh, manakala di Tanah Melayu antara yang berperanan ialah Richard Windstedt.
Dalam pada itu para penyelidik Eropah tertarik minat mereka kepada pantun Melayu mulai tahun 1868. Ia menjadi bahan syarahan di sebuah universiti Belanda.
Kesedaran
Profesor Ismail Hussein menyentuh pendapat yang menganggap Hang Jebat sebagai wira, bukan Hang Tauh. Menurut beliau tiada apa pun bukti bahawa Hang Jebat wira masyarakat Melayu zaman silam.
Gambaran lebih jelas disebut dalam syarahan perdana di UKM (1990). Antara lain mengenai "kesedaran Melayu dalam erti luas serta penggunaan istilah "Melayu" dalam ertinya yang umum, cukup berkembang di Filipina, masyarakat Nusantara paling terbaik kepada pengaruh Barat."
Wira Filipina yang terbilang Jose Rizal yang mendapat jolokan The pride of the Malay race atau The Great Malayan menjadi model kemelayuan yang klasik.
Muncul juga ialah "jurubicara" dunia Melayu yang utama di Filipina pada pertengahan abad ke-20, bernama Wanceslao Vinzons, seorang pemuja Rizal. Beliau menyampaikan pidato berjudul Malaysia Irredenta yang "memaparkan mimpinya akan penyatuan bangsa-bangsa Melayu - Polinisea.
Beliau kemudian mengarang buku berjudul Malaysia Irrendenta yang mengandungi the history and civilisation of Southeast Asian Conturies belonging to the Malay race.
Beliau adalah nasionalis yang menentang pendudukan tentera Jepun di Filipina dan akhirnya hilang pada 1942, khabarnya ditembak mati oleh tentera Jepun.
Di Indonesia pula tokoh pelopor kemerdekaan Indonesia, Muhammad Yamin dari Sumatera Barat memperlihatkan keyakinan mendalam terhadap "peranan bahasa Melayu dan impiannya yang bahasa itu harus dijadikan bahasa kesatuan yang lebih mantap lagi."
Menurutnya "Selat Melaka ialah corong ke kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya daripada Indonesia bererti dengan sengaja dari mulanya melemahkan negeri Rakyat Indonesia dalam perhubungan internasional."
Tetapi kemerdekaan yang diumumkan pada 17 Ogos 1945 wilayah Indonesia merdeka dibatasi pada kawasan Hindia Belanda "Dan selepas Muhammad Yamin gagasan Melayu Raya di Indonesia dari segi politiknya memang telah mati."
Menurut Profesor Ismail Hussein pergerakan Melayu Raya yang lebih berkesan di Tanah Melayu timbul di daerah pedalaman, bukan di pesisiran atau di kota pelabuhan. Ini terjadi di Maktab Sultan Idris di Tanjung Malim. Anak-anak muda banyak berasal daripada masyarakat petani.
Bagi beliau "akhir-akhirnya, tamadun Melayu adalah yang akan menjadi unsur penentu dan yang akan memberikan keperibadian yang lebih kepada kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan datang."
Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein telah berkhidmat dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dipilih menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 dan menyandang jawatan hingga kini.
Sumber: Utusan Malaysia
Kisah bahasa Melayu di Jepun
SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah.
Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.
Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.
Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.
Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.
Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."
Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.
Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."
Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali.
Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.
Diperturunkan
Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.
Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.
Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."
Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.
Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.
Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.
Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.
Sumber: Utusan Malaysia
Catatan mengenai sejarah Melayu
DUNIA Melayu begitu kompleks. Sempadan-sempadannya tidak dapat ditakrif dengan jelas sekali. Demikian dicatat antara lainnya dalam sebuah terbitan mengenai sejarah orang Melayu Singapura selama kira-kira 150 tahun.
Lalu disebut mengenai orang-orang Minangkabau, Mandaleng, Kerinci, Aceh, Palembang, Jambi di Sumatera dari Riau. Sulawesi, Bawean dan Banjar dari Kalimantan.
Juga dicatat perihal Orang Laut yang dikatakan melaksanakan peranan penting dalam kenaikan dan kejatuhan negeri-negeri Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Dari kalangan mereka muncul kemudiannya. Orang Suku Gelam, Orang Kallang dan Orang Seletar di Singapura.
Terbitan berkenaan berjudul Malays/Muslims in Singapore 1918-1965 (Pelanduk Publications) hasil dorongan dari Association of Muslim Professionals (AMP) Singapura.
Ia mengandungi makalah-makalah oleh pelbagai penulis, termasuk dari Universiti Singapura dan Universiti Tekonologi Nanyang. Mengisi kata-kata pendahuluan ialah Profesor Wang Gungwu dan Profesor Khoo Kay Kim.
Antara tajuk pelbagai makalah pula: Kenapa Tengku Hussein menandatangani Perjanjian 1819 dengan Stamford Raffles? Soldadu Melayu di Singapura 1910-1942. Kegiatan-kegiatan politik Melayu Singapura 1945-1959 dan dari kerajaan sendiri hingga kemerdekaan: UMNO dan Politik Melayu di Singapura 1959-1965.
Profesor Khoo Kay Kim memberi penjelasan mengenai nama "British Malaya" (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) yang diguna pada masa lampau.
Juga dijelaskan mengenai takrif "Melayu" yang digunakan oleh pihak Inggeris manakala meluluskan Malay Land Reservation Act pada tahun 1913. Paling penting ialah Melayu bererti beragama Islam. Dua lagi syarat ialah berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.
Keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu dipanggil Jawi peranakan atau ringkasnya Jawi Pekan. Istilah "Jawi" digunakan oleh orang-orang Arab pada masa dulu mengenai orang Melayu. Antara lain-lain catatan:
l Presiden Pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan di Ipoh pada tahun 1945 ialah Mokhtharuddin Lasso, seorang komunis dari Sumatera.
l Singapura menjadi pusat kegiatan- kegiatan sastera dan kewartawanan Melayu. Ia juga menjadi pusat industri filem Melayu.
Menarik perhatian ialah makalah oleh Elina Abdullah mengenai penghijrahan bebas pelbagai golongan etnik Gugusan Kepulauan Melayu selama beberapa abad. Lalu disebut betapa perkataan "Malay" digunakan oleh orang-orang Eropah mulai abad ke-16.
Dari segi politik Orang Laut memainkan peranan penting kerana kehandalan mereka mengharungi lautan dan ketangkasan sebagai pejuang. Ertinya jika seseorang raja memperoleh sokongan taat setia Orang Laut, maka mereka akan mempertahankan kawasan-kawasan dagangan raja berkenaan. Ini berlaku sejak empayar Srivijaya.
Dicatit selanjutnya ialah penghijrahan Melayu dari Riau. Dari Semenanjung Tanah Melayu termasuk kedatangan orang-orang Melayu Melaka walaupun cuba dihalang oleh pihak Belanda. Juga kedatangan orang-orang Bugis selepas tahun 1819 dan orang Jawa.
Peniaga
Sementara itu ialah kedatangan peniaga- peniaga dari Kelantan, Pahang, Terengganu, Brunei, Sulewasi dan Riau. Di samping itu ialah peniaga-peniaga Arab dan India.
Mengenai orang-orang Bugis diceritakan betapa antara yang dibawa oleh mereka mulai abad ke-16 ialah hamba abdi. "Pada abad ke-17 dan berikutnya, orang-orang Bugis menjual orang-orang yang mereka tawan dalam serbuan demi serbuan di Pulau Sunda, Mindanao, Sulu dan Broneo untuk bekerja di ladang-ladang di Malaya, Sumatera dan Jawa.
Penjualan hamba abdi itu begitu menguntungkan hingga orang Bugis sendiri ditawan dan dijual sebagai hamba abdi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tiba di Singapura dengan kapal. Demikian kisah orang-orang Bugis menjual hamba abdi. Peniaga-peniaga Arab pula melaksanakan peranan penting sejak abad ke-14. Majoriti ialah dari Handhramout. Peniaga Arab di Singapura menguasai urusan menunaikan haji.
Turut mendapat perhatian ialah kemunculan bangsawan yang melahirkan pelakon-pelakon lelaki dan wanita di Singapura dan di Tanah Melayu kemudiannya di Indonesia. Lantas bagi kali pertama alat-alat muzik Barat seperti piano, biola, dan gendang menjadi alat-alat hiburan.
Antara tuan-tuan punya bangsawan ialah Arab Peranakan, China, Filipina, Ceylon dan Serani. turut mengambil sebahagian dalam pementasan bangsawan ialah ahli-ahli muzik Filipina.
Selanjutnya dicatit ialah pengalaman Dato' Onn, pelopor nasionalisme Melayu "yang berlindung di Singapura pada tahun 1927 setelah dibuang negeri dari Johor oleh Sultan Johor kerana pelbagai kritikannya. Beliau meneruskan kritik mengenai pelbagai aspek raja-raja Melayu dan golongan aristokrat dalam akhbar Warta Malaya.
Akhbar tersebut dibiayai ialah Syed Hussein Alsagoff dan keluarganya di Singapura. Mereka kemudian membiayai akhbar Lembaga Melayu pada tahun 1934.
Sumber: Utusan Malaysia
Sejarah Melayu dan nasib tulisan jawi
PELBAGAI cerita dan laporan masa silam yang dicatat dalam tulisan jawi tidak begitu diketahui oleh orang Melayu dewasa ini. Hal ini terserlah, antara lainnya, dari buku mengajar tulisan jawi oleh M.B. Lewis, pensyarah bahasa Melayu Universiti London.
Bukunya berjudul: Tulisan Melayu: A Handbook of Malay Script dicetak pada tahun 1954. Antara kandungannya ialah petikan dari sejarah Melayu seperti berikut: “Kalakian maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya dan bandarnya pun terlalu ramai.
‘‘Maka segala orang Melaka pun berkampung melihat rupa Feringgi itu. Maka sekaliannya hairan melihat dia, maka kata orang Melaka, ia ini Benggali putih. Maka pada seorang orang Feringgi itu berpuluh-puluh orang Melaka mengerumuni dia, ada yang memutar janggutnya, ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil chepiaunya, ada yang memegang tangannya.
‘‘Maka kapitan kapal itu pun naik mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka Bendahara diangkat anak kapitan itu dipersalin, maka kapitan kapal pun persembah pada Bendahara Seri Maharaja rantai emas berpermata seutas ia sendirinya memasakkan kepada leher Bendahara Seri Maharaja.
‘‘Maka segala orang hendak gusar akan kapitan Feringgi itu tiada diperoleh Bendahara katanya jangan dituruti kerana ia orang yang (tiada tahu bahasa).
Demikian petikan dari sejarah Melayu. Jelas bahawa segalanya berlaku sebelum kemudiannya Portugis menyerang dan menakluki Melaka. Buku-buku sejarah mengisahkan pelbagai aspek penaklukan dan penjajahan Portugis tetapi tiada cerita mengenai orang-orang Melaka pada mulanya seperti hairan ajaib bila menemui mereka bagi kali pertama. Kedatangan mereka ialah dari Goa di India yang telah ditaklukinya.
Lewis juga memetik tajuk-tajuk berita akhbar-akhbar Utusan Melayu, Majlis, Warta Melayu, Warta Negara dan Melayu Raya serta pantun-pantun Melayu, antaranya berbunyi:
Jangan lurut padi muda
pecah batang kena tangan
jangan diturut hati muda
rosak binasa panjang-panjangan.
Belah durian berpangsa-pangsa
belah sepangsa isi merah
jangan tuan memilih bangsa
darah juga sama merah.
Di muka surat akhbar Warta Malaya 9 Januari 1933 dicatat: Yang diterbitkan hari-hari, Muafakat dan bantuan itulah tangga kemajuan berkekalan.
Mendapat tempat ialah kandungan surat kepada Sultan Ibrahim Shah, Negeri Selangor dari Residen Melaka, Walter Sewell Cracraft pada 26 April 1825 bersamaan 7 Ramadan 1240 mengenai Melaka menjadi pelabuhan bebas. Ayat pertama surat tulisan jawi itu berbunyi: “Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta kasih sayang yang tiada berkesudahan lagi selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan...”
Lain-lain cerita tulisan jawi dipetik dari Hikayat Pelanduk Jenaka. Hikayat Sang Lomeri dan Hikayat Bayan Budiman. Menarik perhatian ialah sikap rendah diri dalam surat yang dikirim kepada Ratu Elizabeth, berbunyi: “Mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen. Harap diampun Tuanku. Adalah patik sekalian yang bertandatangan di bawah ini iaitu yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis mesyuarat undangan bagi pihak penduduk di negeri-negeri Melayu memohon ampun ke bawah duli mempersembahkan dengan beberapa hormat takzim dan takrim kehormatan dan tahniah pada hari kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.”
Pada peringkat permulaan Lewis mencatat sumbangan Pendita Za’ba (Zainal Abidin bin Ahmad) menyusun daftar ejaan Melayu. Lalu dijelaskan: “Tentang ejaan jawi ini hanyalah pada umumnya sahaja dikatakan mengikut kebiasaan penulis-penulis yang lebih ramai. Yang sebenarnya kebiasaan itu ada banyak tentangannya yang berlain-lain pada lain-lain orang. Banyaklah perkataan yang belum tetap ejaan jawinya.
Lewis menyatakan harapan bahawa “para pelajar Asia dan juga Inggeris” akan mendapat faedah dari buku panduan tulisan Melayu yang disusun olehnya itu supaya boleh membaca pelbagai bacaan jawi. Tetapi seperti diketahui semasa ini hanya Kumpulan Utusan Melayu menyiarkan sisipan khas akhbar tulisan jawi, iaitu pada tiap hari Isnin.
Jelas bahawa pelbagai hal kemudiannya ditelan masa. Ramai anak sebilangan ramai ibu bapa yang dulu fasih membaca jawi tidak boleh membaca jawi.
Sumber: Utusan Malaysia
Perjuangan bahasa Melayu di nusantara
Oleh Mazlan Nordin
FENOMENA Melayu, demikian tajuk siri rencana oleh Dr. H. Tabrani Rab yang disiarkan dalam beberapa akhbar Indonesia dan kemudian diterbitkan dalam buku oleh Lembaga Studi Sosial Budaya Riau pada tahun 1990.
Lalu beliau menulis antara lainnya: “Melakalah yang sebenarnya telah meletakkan asas transformasi bahasa Melayu daripada suatu bahasa kecil menjadi bahasa komunikasi perdagangan, ilmu dan diplomatik yang besar dan dengan itu memberikan tiang-tiang besar untuk perkembangannya menjadi bahasa Melayu seperti yang kita kenal hari ini.”
Terbit kini ialah buku yang mengisahkan pelbagai aspek sejarah Singapura, termasuk mengenai perkembangan bahasa Melayu, berjudul Paths Not Taken (terbitan National University of Singapore). Antara makalah ialah Malay Cosmopolitan Activism in Post-War Singapore.
Pada peringkat awal dicatat: Tidak lama selepas wujudnya koloni Singapura pada tahun 1819, orang Melayu menjadi golongan minoriti di pelabuhan yang dikuasai oleh Inggeris. Walaupun pada peringkat minoriti, peratus Melayu kekal pada peringkat global 15 peratus sejak abad ke-19, Singapura melaksanakan peranan penting dalam perkembangan intelek Melayu dan kecergasannya.
Menurut kedua penulis makalah berkenaan, keduanya sarjana bukan Melayu Timothy P. Barnard dan Jan van der Putten - punca kecergasan masyarakat Melayu itu ialah kewartawanan. Pelbagai kedai sepanjang jalan-jalan di Kampung Glam berupa tempat-
tempat percetakan akhbar-akhbar dan majalah sejak 1870-an, demikian disebut.
Isu Bahasa Melayu menjadi alat dalam perjuangan terhadap feudalisme golongan elit, pihak-pihak penjajah dan majoriti golongan asing dalam masyarakat serta berkaitan dengan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia, kerana, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa utama Malaya yang merdeka.
Para wartawan dan pelbagai golongan dari bidang-bidang lain sepakat dalam keyakinan mereka kepada bahasa dan kesenian Melayu bagi mengisi kemerdekaan. Walau pun ramai pihak membicarakan isu-isu pokok di Singapura dan Malaysia, tumpuan utama mereka ialah bahasa dan budaya.
Diwarisi dari pelbagai debat di antara para wartawan Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura ialah kedudukan bahasa Melayu yang begitu penting sekali “seperti kesan halilintar yang menyedarkan orang Melayu selama-lamanya.”
Menurut kedua penulis, gerakan sastera dan nasionalisme Melayu muncul di Singapura pada tahun 1950-an yang berasal dari pelbagai perkembangan di Indonesia dan politik Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dan selamanya.
Di Indonesia gerakan anti-penjajahan mempunyai talian dengan hala tuju sastera pada tahun 1930-an. Lalu muncul gerakan Pujangga Baru oleh para penulis muda seperti Sutan Takdir Al Syahbana, Armin Pane dan Amir Hamzah. Karya dan ideologi para penulis Pujangga Baru itu mempengaruhi para penulis di Semenanjung Tanah Melayu, termasuk para guru pelatih Sultan Idris Training College (STTC).
Aktivis
Ramai guru-guru menjadi aktivis politik budaya di Singapura dari 1930-an hingga 1950-an. Kegiatan-kegiatan sastera dari Indonesia itu menyeberangi Selat Melaka. Antara yang aktif ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Burhanuddin al-Helmy. Mereka menganggap Tenggara Asia sebagai Melayu Raya yang telah dibelah bagi oleh penjajah Inggeris dan Belanda.
Ibrahim Yaakob kemudian menguasai akhbar Warta Melayu dan apabila Jepun menyerang, maka antara yang mengalukan mereka ialah Ibrahim. Bersama Dr. Burhanuddin adanya, beliau mengharapkan penyatuan antara Indonesia dan Malaya.
Dunia kewartawanan di Singapura selepas tamat perang menyaksikan penerbitan pelbagai akhbar. Yang utama ialah kumpulan Utusan Melayu yang juga menerbitkan majalah Mastika dan Utusan Zaman. Antara penulis-penulisnya ialah Abdul Rahim Kajai, Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Keris Mas.
Satu lagi kumpulan diketuai oleh Harun Aminurrashid dari STTC yang dibuang ke Brunei kerana kegiatan nasionalisnya. Kumpulan ketiga diketuai oleh Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus yang sebelumnya wartawan Utusan Melayu.
Menjelang 1950, menurut kedua penulis lagi, para penulis muda kian meningkat keinginan mereka untuk melakukan modernisasi dari segi bahasa dan kandungannya. Antara mereka ialah Asraf, Rohaizad, Roomai Noor dan Jamil Sulong. Mereka berpendapat bahasa pihak penjajah telah menganiayai dan menindas orang Melayu. Maka lahir kemudiannya ialah ASAS 50.
Pada Kongres Pertama Bahasa dan Sastera Melayu tahun 1952, tumpuan perbincangan ialah penulisan yang mencerminkan keinginan untuk menggunakan politik, masyarakat dan budaya bagi memupuk keyakinan pada diri sendiri dan semangat kebangsaan.
Antara cara untuk mencapai matlamat ialah mengutamakan tulisan rumi, iaitu cadangan para penulis muda ASAS 50. Menurut yang empunya cerita Samad Ismail diperintah oleh ayahnya supaya membaca akhbar-akhbar Melayu, bukan buku-buku cerita detektif yang dibeli olehnya setiap minggu. Kajai pula dikatakan lebih senang bercakap dalam bahasa Inggeris.
Turut disebut dalam makalah ialah nama-
nama Jamil Sulong, Omar Rojik, Abdullah Hussain dan P. Ramlee dengan filemnya Penarik Becha. Populariti filem-filem Melayu dianggap meningkatkan bilangan penulis-
penulis skrip dan pengarah-pengarah Melayu menggantikan pengarah-pengarah dari Calcutta dan Bombay.
Kongres Bahasa Melayu ketiga pada tahun 1956 memperteguh cita-cita dan aspirasi para aktivis Melayu. Antara para peserta ialah Zubir Said yang kemudian menggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura. Ia diperdengarkan secara rasmi pada 3 Disember 1959 ketika pertabalan Yusof Ishak sebagai Yang Di Pertua Negara.
Ia dinyanyikan oleh kumpulan dari pelbagai bangsa. Bahawa mereka menyanyi lagu Melayu untuk menyambut pengasas akhbar Utusan Melayu menjadi ketua negara dianggap sebagai sesuatu yang simbolik kerana memenuhi matlamat penting para wartawan Melayu dari tahun 1950-an.
Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi, dan rakyat mempelajarinya di sekolah-sekolah serta menyanyikannya sebagai lagu kebangsaan demikian dicatat. Sebagaimana disebut oleh Profesor Ismail Hussein: “Bahasa Melayu selepas perang menjadi bahawa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.”
Sumber: Utusan Malaysia
Penyata Razak dan era baru Bahasa Melayu
SEORANG pegawai Inggeris bernama Arthur Noel Kenion berucap dalam sidang Federal Council Federated Malay States dalam masa penjajahan pada tahun 1915 lalu memberi nasihat mengenai cara-cara yang terbaik sekali untuk mengajar dan mendidik orang Melayu.
Beliau berkata “Kita boleh ajar orang Melayu supaya terus ke sawah padi dan tidak kehilangan kebolehan dan kecekapan mereka sebagai nelayan serta bekerja di hutan. Ajar mereka kelebihan bekerja sebagai buruh kasar dan bukan menjadi kerani dan dengan itu saya yakin kita tidak akan menghadapi kerumitan seperti telah timbul di India iaitu akibat persekolahan yang berlebih-lebihan.”
Kenyataannya dalam bahasa Inggeris dicatat dalam sebuah makalah berjudul Perkembangan Bahasa Melayu oleh Haji Hamdan bin Sheikh Tahir, seorang pegawai kanan Kementerian Pelajaran yang kemudian menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Beliau antara lain menyentuh laporan Razak tahun 1956 yang dianggap sebagai perolehan penting kerana menjadi asas dasar pelajaran yang meningkatkan taraf dan pekerjaan dalam bahasa Melayu.
Berbeza sekali dasar pelajaran itu daripada anjuran Kenion yang merendahkan bahasa Melayu dan sikap pihak penjajah umumnya terhadap pendidikan bagi orang Melayu. Malah, sikap sama berlaku di sekolah-sekolah bahasa Inggeris dulu yang “tujuan hanya untuk mengajar anak-anak muda kita belajar membaca dan menulis dengan baik supaya boleh menjadi kerani pejabat.”
Makalah Hamdan (Kemudian dikurnia kehormatan Tun) dikenang kembali bagi yang menghadiri Majlis Penyerahan buku Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak pada hari Isnin lalu.
Ia disampaikan oleh Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah kepada Ketua Arkib Negara, Dato’ Haji Sidek.
Nasional
Seperti disebut oleh Tun Hamdan lagi, sejumlah 20 cadangan penting diajukan dalam penyata Razak itu yang mewujudkan sistem pendidikan yang bersifat nasional kerana berdasarkan bahasa kebangsaan dan di samping itu mengekalkan pelbagai bahasa dan budaya lain.
Juga kembali dalam ingatan ialah karya Prof. Asmah Haji Omar berjudul The Teaching of Bahasa Malaysia in the Context of National Language Planning (Dewan Bahasa dan Pustaka 1976).
Lalu disebut autobiografi Hikayat Abdullah oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1796-1854), sahabat karib Sir Stamford Raffles. Menurutnya tidak perlu mengajar bahasa Melayu bagi orang Melaka kerana ia bahasa mereka sendiri.
Abdullah menulis “.... pada fikiran orang-orang sekalian, tidak patut dipelajari akan bahasa Melayu itu, sebab ia itu bahasa kita sendiri. Dan lagi pula, daripada zaman nenek moyang pun tiada pernah pula orang menaruh tempat belajar bahasa Melayu, melainkan tempat mengaji Quran sahaja. Dan patut dibelajarkan bahasa Arab kerana iaitu berguna kepada agama dan lagi dalam akhirat dan lagi bahawa itu sahaja yang terlebih mulia di antara orang Islam.
Profesor Asmah menegaskan betapa jawatankuasa Razak memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu kerana beberapa faktor, antaranya:
l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat yang diperlukan bila memohon kerja dalam perkhidmatan kerajaan.
l Kelulusan dalam bahasa Melayu menjadi syarat bagi para pelajar ke sekolah menengah dan juga wajib dalam kesemua peperiksaan kerajaan.
l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat bagi seseorang yang memohon bantuan kewangan pelajaran.
l Bahasa Melayu juga menjadi mata pelajaran yang penting dalam latihan para guru.
Disebut selanjutnya betapa bahasa Melayu tidak begitu lama menjadi lingua franca di Malaysia dan di seluruh nusantara Indonesia. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa kebangsaan Indonesia dengan nama lain. Lalu bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa kebangsaan Republik Indonesia. Maka dengan itu Penyata Razak 1956 berupa “permulaan era baru bagi Bahasa Malaysia.”
Bagi kesemua ialah sesuatu yang ditegaskan pada ayat akhir laporan Education Committee 1956: “Our recommendations are unanimous and are supported without reservations by all of us.”
Ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Abdul Razak, Menteri Pelajaran sebagai pengerusi. V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Suleiman bin Dato’ Abdul Rahman (Menteri Kerajaan Tempatan), Abdul Aziz bin Haji Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Shamsudin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), Too Joon Hing (Timbalan Menteri Pelajaran).
Abdul Rahman bin Haji Talib (Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan), Zainul Abidin bin Sultan Mydin, Dr. Lim Chong Eu (kemudian Ketua Menteri Pulau Pinang), Encik Abdul Hamid Khan (kemudin Menteri Pelajaran) Goh Chon Yan, Mohamad Ghazali Jawi (kemudian Menteri Besar Perak), Lee Thean Hin, Mohamad Idris bin Mat Sil, Leung Cheung Ling.
Sumber: Utusan Malaysia
Transformasi kepayahan landa BM
Untuk memahami kedua-dua senario kepayahan tersebut kita harus melihat persekitaran yang menyelubungi penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita. Penggunaan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan harian, dalam bentuk lisan dan penulisannya di kalangan penutur terlalu banyak dipangkah atau dikuasai oleh perkataan, suku kata (frasa) malah ayat-ayat bahasa Inggeris sehingga sesuatu ayat itu tidak lagi layak atau boleh dianggap sebagai bahasa Melayu. Baik dalam suasana mesyuarat mahupun dalam pertuturan biasa kelumrahan ini amat ketara.
Dalam hidup harian begitu kerap didengar ayat-ayat berikut:
“so, jadi kita kena buat bestlah…";
“then, lepas tu kita terus pergi lunch…";
“Cuba trylah dulu, then you know.”
“OKlah, you let me know kemudian…"
Beratus-ratus lagi contoh bahasa rojak atau bahasa sekerat belut sekerat ular ini yang boleh disenaraikan sebagai ‘pemangkah’ bahasa Melayu. Barang diingati, gasing berpusing yang dipangkah boleh pecah atau mati winya. Bahasa Melayu yang sedang dipangkah dengan pelbagai perkataan Inggeris tanpa mengira kesan budayanya akan mengalami transformasi yang payah dan parah.
Ini bukan setakat perlunya menggunakan perkataan atau istilah teknikal, saintifik atau yang berpunca daripada sistem urus niaga yang rumit. Contoh-contoh ini telah memasuki struktur pembudayaan bahasa Melayu itu sendiri yang berupaya pula menukar pembahasaannya.
Sumber: Utusan Malaysia
sumbr
Jumaat, 25 Mac 2011
Langgan:
Catatan (Atom)