I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 23 Mac 2011

AYAT PERINTAH


Konsep yang dinyatakan oleh Tatabahasa Dewan dan juga Nahu Melayu Moden mempunyai persamaan iaitu ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan dengan orang yang kita ajak bercakap untuk melakukan sesuatu perbuatan.Dalam buku Tatabahasa Bahasa Malaysia , ayat perintah ialah ayat yang memakai atau diucapkan dengan intonasi perintah atau suruhan. Oleh itu, ayat perintah difahami sebagai ayat yang memberikan perintah atau suruhan untuk tujuan melakukan sesuatu tindakan dengan menggunakan intonasi perintah atau menyuruh.
Ayat perintah dalam buku Tatabahasa Dewan (2009 : 448) terbahagi kepada empat jenis iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan. Buku Tatabahasa Bahasa Malaysia (1991:262) membahagikan ayat perintah kepada empat jenis iaitu ayat suruhan, ayat harapan, ayat permintaan dan ayat ajakan. Ayat perintah dalam buku Nahu Melayu Moden (1986:188) pula terdiri daripada lima jenis iaitu ayat perintah atau suruhan, ayat silaan, ayat ajakan, ayat harapan dan ayat larangan.
             Dalam Tatabahasa Dewan, ayat suruhan ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Dalam Tatabahasa Malaysia ayat suruhan biasanya dibuat dengan tujuan untuk melafazkan suruhan atau paksaan yang bertentangan dengannya iaitu tegahan. Nahu Melayu Moden pula menyatakan ayat perintah sebenarnya adalah transformasi yang berasal dari ayat berita (ayat penyata). Oleh itu, persamaan yang dapat dilihat di dalam ketiga-tiga buku ini ialah, ayat suruhan atau ayat perintah membawa konsep menyuruh atau meminta seseorang untuk melakukan sesuatu. Contohnya seperti berikut :
1)    Pergi kau dari sini.
2)    Bangun sekarang.
            Tatabahasa Dewan berpendapat bahawa subjek dikekalkan bagi tujuan penegasan. Ketiga-tiga buku menyatakan tentang penggunaan partikel-lah  di bahagian predikat bagi tujuan penegasan. Kesimpulannya, ayat suruhan ditujukan kepada orang lain untuk melakukan sesuatu.
 Menurut Tatabahasa Dewan (2009:450), ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Nahu Melayu Moden (1986:190) pula menggunakan kata larangan jangan sahaja dalam semua contoh. Tatabahasa Dewan dan Nahu Melayu Moden sebenarnya membawa konsep yang sama iaitu ayat yang memberikan sesuatu tegahan.  Bagi Tatabahasa Bahasa Melayu juga membarikan konsep yang sama tetapi menggunakan istilah yang berbeza iaitu ayat suruhan. Contohnya seperti ayat dibawah :
            1) Jangan mengasari ibu kamu.
  .         2)Jangan kamu pergi ke sana lagi.
Tatabahasa Dewan dan Tatabahasa Bahasa Melayu telah memberikan konsep yang sama terhadap ayat silaan atau juga dikenali sebagai ayat ajakan. Konsep yang dikemukakan oleh kedua-dua buku ini adalah sama iaitu ayat yang menjemput atau mempersilakan seseorang.  Perkara yang sama telah dinyatakan oleh Nahu Melayu Moden iaitu Nahu Melayu Moden memberikan istilah ayat ajakan namun membawa konsep yang sama. Lazimnya, ayat silaan digunakan pada permulaan ayat. Contohnya seperti berikut :
1) Sila tandatangan di sini.
2) Jemput menjamu makanan yang telah disediakan.
 Oleh itu, ayat silaan/ ayat ajakan mengikut ketiga-tiga buku tersebut adalah sama iaitu  ayat untuk menjemput, mempersilakan, mempelawa atau mengajak seseorang.
Seterusnya ialah ayat permintaan. Ayat ini sebenarnya mempunyai persamaan dari segi konsep di dalam kedua-dua buku iaitu buku Tatabahasa Dewan dan juga Tatabahasa Bahasa Melayu. Konsep ayat permintaan yang dinyatakan oleh kedua-dua buku ini  ialah mempelawa dan mengajak serta meminta seseorang untuk melakukan sesuatu. Berikut adalah contoh ayat permintaan:
1) Minta anda semua tenang seketika.
            2) Tolong buangkan sampah itu.
Seterusnya ialah ayat harapan. Dari segi perbezaan ayat ini tidak dikemukakan di dalam Tatabahasa Dewan. Ayat ini hanya terdapat di dalam buku Tatabahasa Bahasa Melayu dan juga Nahu Melayu Moden sahaja. Kedua-dua buku ini memberikan konsep yang sama kepada ayat harapan iaitu menyatakan sesuatu harapan terhadap orang yang ditujukan. Contohnya seperti berikut:
1) Semoga dia sihat selalu.
2) Mudah-mudahan dia selamat sampai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan